Wednesday, April 20, 2016

Bagaikan Antara Dua Darjat

Coretan ini bukannya mengenai kisah cinta terlarang di antara Ghazali, cikgu muzik dengan Tengku Zaleha, anak golongan bangsawan. Tidak. Ianya juga bukan cerita dongengan, tetapi realiti kehidupan pahit yang ditempuhi sebilangan rakyat negara ini. Ianya mengenai jurang di antara yang terpingggir dan yang senang-lenang, di antara yang bisu dan yang petah bermain kata, dan di antara yang miskin dan yang kaya lagi berkuasa.

Kita berdabik dada mengatakan bahawa kadar kemiskinan di negara kita adalah sekitar 0.6 peratus, dan miskin tegar telah pun terhapus.  Syabas buat semua. Menurut statistik, isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM930 dikira miskin, dan kurang dari RM500 di kira miskin tegar.

Tetapi kemiskinan bukan sekadar isu nombor atau statistik yang kadang-kadang menyembunyikan kepayahan sebenar kehidupan segelintir masyarakat.

Contoh mutakhir dapat dilihat di kampung-kampung yang rata-rata penduduknya penoreh getah. Apa yang kami perhatikan di beberapa kawasan di Kedah baru-baru ini hanya sebahagian contoh paling ketara. Kami berkunjung ke beberapa kampung di Baling dan Padang Terap. Rata-rata penoreh getah di sana berpendapatan kurang dari RM500 sebulan. Yang berpendapatan RM70 seminggu, ataupun RM10 sehari itu perkara biasa disebabkan kejatuhan harga getah ditambah pula dengan musim kemarau.

Apalah sangat yang boleh dibeli dengan RM10 sehari, sekilo ikan kembong pun sudah memcecah belasan ringgit. Makanan harian mereka hanyalah nasi dan telur. Beras bukan lagi dibeli seperti warga kota iaitu secara berkampit. Tidak ubah tetapi seperti zaman dahulu, mereka hanya mampu membeli sekilo beras setiap kali ke kedai runcit. Telur bukan lagi dibeli sepapan, tetapi hanya beberapa butir. Ikan dan daging pula sudah menjadi sajian mewah.

Tidak hairanlah, ramai yang jatuh sakit, baik yang tua maupun yang muda. Anak-anak mereka ada yang bergilir-gilir ke sekolah. Manakan tidak, jika pendapatan sehari hanyalah RM10, manakan mampu membiaya RM1 seorang sebagai tambang dan wang saku untuk lima orang anak yang masih bersekolah?

Situasi ini jauh berbeza dengan kehidupan segelintir rakyat negara ini. Di kala penoreh getah di Kedah tidak mampu membeli ikan walaupun sekilo, pada masa yang sama ada rakyat kita yang begitu boros berbelanja di serata dunia. Ada yang begitu kaya-raya mengalahkan Raja Qarun. Ada pula di kalangan yang berkuasa baru-baru ini membelanjakan RM3.3 juta untuk membeli barang mewah hanya di sebuah butik barang kemas di Itali.

Apabila negara dilanda banjir besar beberapa waktu yang lalu,  ketika mangsa banjir hanya bergantung kepada air botol dan biskut kering, bayi terbiar tanpa kain lampin dan terpaksa tinggal di dewan sekolah, ada juga segelintir rakyat kita terutamanya keluarga pemerintah yang bersuka-ria di luar negara. Bagi golongan kenamaan dengan kekayaan melimpah ini, tidak ada yang luar biasa sewaktu menaburkan setengah juta ringgit hanya di sebuah gedung berjenama mewah.

Memang sekarang ini Malaysia telah menjadi negara antara dua darjat. Di sebalik tawa-ria golongan kaya yang hidup bagaikan di syurga dunia, ramai sekali rakyat yang menangis sedu dan termangu mengenangkan masa hadapan yang kian suram dek kesempitan hidup.

Kita cuba diyakinkan bahawa kenaikan kos hidup bukanlah gara-gara GST, tapi  konon kerana rakyat tidak ada pendidikan tinggi untuk mengaut pendapatan lebih. Ada pula yang menunding jari dan lantang mengecam si penoreh getah dan si miskin sebagai pemalas. Tuduhan ini tidak benar sama sekali.

Penoreh getah berhempas pulas sepanjang hidup. Sebelum fajar menyinsing, mereka telah pun bersedia ke ladang. Pulang dari menoreh, ada yang ke hutan mencari rotan dan burung, ada juga berpusing satu kampung mencari cari kerja ‘ikut dan’ bak kata orang Kedah. Namun, walaupun berikhtiar dan berusaha segiat mana pun, hidup mereka masih sukar. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.  Di sebalik dari berkerut para ayah dan senyuman para ibu, hati mereka menyimpan rasa risau mengenangkan teka-teki nasib anak cucu.

Apa yang boleh kerajaan lakukan untuk membantu mereka? Banyak sekali tentunya jika ikhlas.

Pertama, kita perlukan ‘stop-gap measure’ secepat mungkin. Kerajaan haruslah naikkan harga minimum untuk getah buat sementara waktu. Ini bukan perkara baru, bahkan telah berkali-kali kita lakukan.
Kedua, pastikan kesemua anak-anak penoreh ini mendapat bantuan makanan tambahan di sekolah beserta bantuan kewangan. Ini bermakna dana Kumpulan Wang Amanah Pelajar 
Miskin (KWAPM) yang dipotong dari RM200 juta menjadi RM10 juta sahaja pada bajet tahun ini haruslah dikembalikan kepada jumlah asalnya. Bantuan makanan dan kewangan penting agar anak-anak ini dapat belajar seperti kanak-kanak yang lain tanpa sebarang beban dan gangguan.

Alasan bahawa negara ini tidak mempunyai wang untuk membantu mereka adalah tidak berasas. 

Kalau RM100 juta wang yang dilesapkan oleh pegawai Kementerian Belia dan Sukan digunakan untuk program bantuan makanan, ianya boleh membantu seramai 300,000 kanak-kanak tahun ini.  

Bayangkan jika hampir RM8 billion faedah yang dibayar oleh 1MDB untuk membayar hutangnya digunakan untuk kanak-kanak dan golongan yang terpinggir ini. Mungkin tidak akan ada lagi mereka yang hidup merempat di bumi bertuah ini.

Usah kita hanya menolong kelompok berada dan yang kaya-raya. Hulurkanlah dulu bantuan kepada yang tersepit kehidupannya. Segolongan kecil yang kaya-raya di negara ini (yang hanya membayar sedikit cukai) sering diberi segala peluang dan kesempatan, manakala golongan pertengahan pula telah menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan. Terbaru mereka yang belum mempunyai rumah diberi subsidi RM30,000 seorang sekiranya membeli rumah berharga setengah juta. Nah, siapakah yang mampu membeli rumah berharga sedemikian, yang kayakah atau yang miskin?

Pada masa yang sama, si miskin diperah membayar cukai yang tinggi, dan hanya disuapkan bantuan BR1M sebanyak RM 250 setiap tiga bulan. Malah, sekotak susu untuk anak kecil mereka juga turut dicukai.

Justeru, siapakah yang dimanjakan dan siapakah yang ditindas? Adakah ini dinamakan keadilan sosial?

Kepada pemimpin negara, bersikap adillah kepada semua. Jenguk-jenguklah mereka yang tidak mampu bersuara ini. Mereka juga rakyat negara kita. Jangan hanya ke dewan-dewan di kampung menabur janji bagaikan melepaskan batuk di tangga bila tiba musim menagih undi pilihanraya. Intailah ke dapur mereka dan pastikan samada ianya masih berasap. Lihatlah periuk buruk dan belanga sumbing yang menyambung nyawa mereka. Bersilalah di lantai yang usang di bawah atap yang bocor, dan insaflah bahawa kita semua adalah saudara.

Kepada yang berpendidikan dan berpengaruh, usah sekadar diam membisu. Bangunlah berteriak menentang penindasan oleh yang memerintah dan berkuasa ke atas mereka yang lemah dan miskin.

Mungkin sajak Otto Rene Castillo  ‘Cendikiawan Tanpa Pendirian’ yang kami singkatkan sedikit boleh menyedarkan nurani kalian.

Suatu hari nanti
Cendiakiawan tanpa pendirian dari tanahairku
Akan dipersoalkan
oleh rakyat kita yang terdaif
Mereka akan ditanya
Tentang peranan mereka
Ketika bangsa mereka mati perlahan lahan
Semacam api comel yang kecil dan sepi

Tiada siapa yang ingin bertanya tentang gaya pakaian mereka
Tiada siapa yang pedulikan pengetahuan kewangan mereka yang hebat

Pada hari itu orang-orang biasa akan datang
Mereka yang tidak punya tempat di halaman-halaman buku dan puisi
dan mereka akan bertanya:
“Apa yang kau lakukan saat rakyat miskin menderita,
Ketika kasih sayang dan nyawa hangus dalam diri mereka?”

Cendikiawan tanpa pendirian
dari tanahairku yang indah
kalian tak akan mampu menjawabnya

Burung nazar sunyi
Akan makan ususmu
Penderitaan mu akan sedut jiwamu
Dan kau akan membisu
Kerana malu


Nota : Artikel diatas telah disiarkan di Sinar Harian pada 17hb April 2016, mukasurat 18, dengan sedikit penyuntingan.

1 comment:

  1. Sorang tu sedekah terima berbillion. Padahal sedekah dalam Quran cakap untuk fakir miskin dan asnaf lain. Najib tu kira asnaf ke? Menyebarkan kerja fasiq adalah! Berambuslah wahai najib

    ReplyDelete